Sunday, January 3, 2010

PENDAHULUAN.

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sadaqah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”. (Surah at-taubah: ayat 103)

Harta kurniaan Allah SWT merupakan amanah yang perlu diurus dengan sebaiknya. Justeru itu Islam mendidik umatnya dengan cara mewajibkan zakat dikeluarkan disamping amalan-amalan sunat seperti sadaqah, hibah dan memberi hadiah.
Amalan bersadaqah sangat digalakkan dalam Islam, kerana sadaqah adalah salah satu lambang kesyukuran kepada Allah SWT. Ianya juga sebagai jambatan menghubungkan manusia terhadap Khaliqnya (Allah) serta hubungan manusia sesama manusia. Selain itu amalan bersadaqah merupakan amalan sunat yang amat disukai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Sadaqah atau amalan seperti hibah dengan maksud mencukupkan keperluan orang fakir dan miskin serta orang-orang yang memerlukan adalah salah satu hak yang terpenting daripada hak-hak manusia selain zakat. Ia merupakan hak bagi setiap individu muslim di dalam masyarakat Islam bagi memperolehi kecukupan yang sempurna dalam memenuhi keperluan hidupnya yang asasi, baik untuk dirinya sendiri mahupun orang-orang yang di bawah tanggungannya.

PENGERTIAN SADAQAH:
Pemberian atau bantuan yang dihulurkan kepada mana-mana orang dengan ikhlas kerana Allah SWT. Sadaqah yang utama adalah menghulurkan bantuan kepada fakir dan miskin.
Sadaqah merupakan jambatan untuk mendekatkan diri seseorang kepada Tuhannya, dan ia merupakan kebaikan yang amat dituntut untuk membantu kaum kerabat, anak yatim, fakir dan miskin, orang musafir, peminta-peminta dan banyak lagi.

JENIS-JENIS SADAQAH:
Sadaqah boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sadaqah wajib dan sadaqah sunat. Sadaqah wajib dikenali sebagai zakat dan terbahagi kepada dua pula iaitu zakat harta dan zakat fitrah.

ZAKAT:
Zakat dari segi bahasa bermaksud: “berkat, subur, bersih dan banyak (Ibrahim Mustafa 1960, 1:398).

Dari segi istilah dirujuk sebagai perkara yang dikeluarkan daripada harta benda atau diri (badan) dengan cara yang khusus (al-Ansari Zakaria, 1;102).
Zakat merupakan satu kefarduan ke atas setiap umat Islam. Ia merupakan tanggungjawab sosial yang perlu dipikul oleh golongan kaya dan yang berpendapatan tinggi dengan tujuan meringankan beban yang dipikul oleh golongan tidak berharta dan berpendapatan rendah dalam menjalani kehidupan seharian.

SADAQAH WAJIB

1) Zakat Harta
2) Zakat Fitrah

SADAQAH SUNAT
1) HIBAH

Hibah dari segi bahasa diertikan sebagai pemberian atau kurniaan sepertimana firman Allah SWT:

Maksudnya: "Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaKu semasa Aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha mendengar dan Memperkenan doa permohonan.
Dari segi istilah bermaksud: memberi milik tanpa sebarang gantian. (al-asqalani 1989,5:198)
Daripada abu Hurairah r.a daripada Rasulullah SAW bersabda: “Wahai wanita-wanita Islam, janganlah seseorang jiran wanita menghina terhadap jiran wanita walaupun dengan memberi kaki kambing.
(al-bukhari 1377H, 5:197)

Daripada Urwah daripada Aisyah r.a bahawasanya beliau berkata Urwah: “Wahai wanita saudaraku! Sesungguhnya kami melihat anak bulan kemudian satu anak bulan (sehingga) tiga anak bulan dalam masa dua bulan dan tidak dinyalakan api dalam rumah-rumah Rasulullah SAW. Aku berkata: Wahai ibu saudaraku! Apakah yang menghidupkan kamu? Beliau berkata “Aswadan”, iaitu tamar dan air, melainkan Rasulullah SAW ada jiran dalam kalangan yang mempunyai unta atau kambing yang mempunyai susu dan mereka memberi susu mereka kepada Nabi SAW lalu baginda memberi minum kepada kami.
(al-bukhari 1377H, 5: 197)

Melalui hadis tersebut dapat difahami bahawa Rasulullah SAW pernah menerima pemberian daripada sahabatnya. Pemberian seperti inilah yang disebut hibah.

2) HADIAH

Hadiah dari segi bahasa diertikan sebagai perjalanan (sirah) (al-razi, 1972: 193) seperti dikatakan: Maksud: “Begitu indah hadiahnya iaitu perjalanan, dan diertikan juga sebagai pemberian sepertimana firman ALLAH SWT:

Maksudnya: “Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulNya.
(Surah an-Nahl 7: 36)

Dari segi istilah bermakna sesuatu yang diberi kerana kasih sayang dengan maksud memberi penghormatan kepada orang yang menerima hadiah. Ia juga ditakrifkan sebagai sesuatu yang diambil tanpa syarat pertolongan. (al-bustani, t.t:934)

Daripada Aisyah r.anha: Bermaksud: “Aku berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai dua orang jiran. Maka kepada mana satu aku hadiahkan? Rasulullah SAW bersabda; kepada yang paling hampir pintunya dengan engkau.

(al-bukhari 1377 H, 5:220)

3) WASIAT

Firman ALLAH SWT:
Bermaksud: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat Dengan cara Yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.
(Surah al-Baqarah 2: 180)

Pada dasarnya ayat tersebut memfardukan ke atas seseorang berwasiat kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabatnya (al-Qurtubi 1967, 2: 263)



4) WAKAF
Wakaf dari segi bahasa diertikan sebagai “Habs” iaitu tahan. (Ibn Manzur 1966, 11:276).

Firman ALLLAH SWT:

Maksudnya: "Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana Sesungguhnya mereka akan disoal.
(Surah as-Saaffaat 37: 24)

Dari segi istilah ialah pencegahan daripada menjual asal (harta) dengan cara yang khusus dan disadaqahkan faedah dan hasilnya (al-asqalani 1989, 5: 480)

PERANAN SEDEKAH DALAM MEMBANTU MASYARAKAT

Para cendikiawan muslim dan pengkaji-pengkaji menegaskan bahawa sedekah dan segala jenis derma dan bantuan mempunyai peranan yang besar dalam pembentukkan masyarakat.
1. Memelihara mangsa bencana dan mangsa bala.
Iaitu orang yang menghadapi jalan buntu dalam menyelesaikan masalah mereka berupa bencana dan bala yang menimpa.
Rasulullah SAW bersabda: “ Seseorang Islam itu saudara bagi orang Islam yang lainnya, tidaklah boleh dianiaya dan tidak boleh dibiarkan (atau diserahi kepada musuh). Siapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka ALLAH SWT akan menunaikan hajatnya, dan siapa yang melepaskan suatu bala daripada bala-bala dunia daripada seseorang Islam pastilah ALLAH SWT akan melepaskan dengan sebabnya akan suatu bala daripada bala-bala hari Kiamat dan siapa yang menutup keaiban seorang Islam yang lain pastilah ALLAH SWT akan menutupkan keaibannya di hari Kiamat”.
(al-bukhari dan muslim)

2. Memberi makan kepada orang yang lapar, pakaian kepada orang tidak mempunyai pakaian dan memberi minum kepada orang yang kehausan.
Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana orang Islam memberi pakai kepada seorang Islam akan sehelai baju (pakaian) bagi yang tiada pakaian, nescaya ALLAH SWT akan memakainya dengan pakaian hijau (yang indah) di syurga. Mana-mana orang Islam memberi makan kepada seorang Islam yang lapar, nescaya ALLAH SWT akan memberi makanan daripada buah-buahan syurga. Dan mana-mana orang Islam yang memberi minum kepada seorang Islam yang dahaga nescaya ALLAH SWT akan menuangkannya minuman daripada pati arak yang dicampur dengan kasturi. (minuman enak dan asli tanpa memabukkan).
(abu-dawud)

3. Membina masjid-masjid serta membelanjakan untuk mengimarah dan memeliharanya.
Berbelanja kerana menguruskan urusan masjid merupakan salah satu keutamaan disebabkan masjid merupakan rumah-rumah ALLAH SWT di muka bumi serta merupakan sesuci-suci tanah (serta bangunan) yang paling dikasihi ALLAH.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membina masjid, pasti ALLAH SWT akan membina untuknya sebuah mahligai / istana di syurga kelak. ( H.R Muslim)

4. Menyebarkan ilmu (agama) membantu ulama, pendakwah dan penghafal al-quran.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya antara kemuliaan (penghargaan) ALLAH SWT ialah Dia memuliakan seseorang Islam yang telah beruban (matang), memuliakan penghafal al-quran tanpa dia melebihkan-lebihkan (sehingga meninggalkan kerja-kerja utama) serta melaksanakan kandungannya, dan Dia memuliakan pemerintah yang adil (yang melaksanakan hukum-hukum ALLAH).

5. Menyara dan membiayai anak-anak yatim.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah Engkau berlaku kasar terhadapnya.
(ad-dhuha: 9)

Rasullah SAW bersabda: “Saya dan penyara anak yatim(sewaktu) di dalam syurga adalah seperti kedudukan diantara dua ini(beliau mengisyaratkan dengan dua jari beliau iaitu jari telunjuk dan jari tengah (amat dekat sekali: dapat memasuki syurga dan dekat dengan Nabi)” [H.R At-Termidzi]

6. Memelihara orang fakir dan miskin terutama keluarga terdekat, berdasarkan sabda Nabi SAW .
“ Sadaqah kepada orang miskin itu ialah satu sadaqah : sedangkan sadaqah kepada keluarga(yang miskin) ialah dua sadaqah: suatu sadaqah (biasa) dan suatu hubungan (keluarga) [ H.R An-Nasaa’iy]

7. Berbuat baik kepada jiran .
Jiran ialah tetangga sekitar kediaman kita; terutamanya jiran yang fakir; kerana sesungguhnya mereka ialah orang yang paling berhak mendapat kebaikan, berdasarkan sabda Nabi SAW

“Siapa yang tetap beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya(sesudah keluarga) [H.R Muslim]

Juga Rasulullah SAW telah bersabda :
“Tidaklah wajar seseorang dapat hidup kenyang tanpa jirannya.” [H.R Ahmad]

8. Berbelanja untuk jihad.
Jihad dijalan Allah itu adalah setinggi-tinggi martabat keimanan dan tanda puncak keagungan Islam. Menerusinya Agama terpelihara dan dapat menjadi benteng tempat-tempat suci (lambang agama) dan sesungguhnya Rasulullah SAW telah menggalakkan umat Islam agar mengorbankan harta di jalan jihad terhadap musuh.
Beliau telah bersabda:
“Berjihadlah kamu menentang orang-orang musyrik dengan (segala) harta kamu, diri-diri kamu dan lidah-lidah kamu”. [H.R Ahmad dan Abu Dawud]
Juga beliau bersabda :
“Siapa yang menyiapkan kelengkapan tentera di jalan Allah, maka sesungguhnya dia juga (dikira) turut berperang dan siapa yang tidak mampu untuk keluar berperang, maka dia tinggal menjaga kebaikan anak-isteri, maka sesungguhnya dia juga(dikira mendapat pahala) turut berperang.” [ H.R Al-Khamsah: Al-Bukhaari, Muslim, Abu Dawud, At-Termidzi dan An–Nasaa’iy.”

9. Menolong dan bersimpati kepada orang yang berhutang.
Iaitu berdasarkan firman Allah Taala:
Bermaksud : “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sadaqahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”
[Al-Baqarah : 280]
Manakala Nabi SAW telah bersabda :
“Siapa ingin agar Allah melepaskannya daripada bala’ di hari Kiamat, maka hendaklah dia melepaskan (kesukaran) daripada orang yang susah atau dia melepaskan terus (tanggungan hutangnya).”

10. Memberi hutang tanpa balasan.
Dia adalah lebih baik daripada bersadaqah, fungsinya untuk menolong dan membantu orang yang susah untuk mencari rezeki dan memudahkan urusan hidup mereka.

Allah Taala telah berfirman:
Bermaksud : “Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dan (selain itu) ia akan beroleh pahala yang besar. “
[Al-Hadid :11]


Manakala Rasulullah SAW pula bersabda :
“Tiadalah seorang Islam member hutang kepada seorang Islam yang lain, pada satu kali, melainkan dia adalah seperti bersadaqah kepadanya dua kali.” [H.R Ibnu Maajah]

PERANAN SADAQAH DALAM MENDAMAIKAN MANUSIA

Antara penyakit yang melanda anggota-anggota masyarakat atau umat Islam seluruhnya ialah gejala seperti perselisihan, perkelahian dan pertengkaran. Kadang-kadang ianya dapat diubati dengan harta yang dikeluarkan sebagai sadaqah untuk memperoleh keredhaan Allah dan mengharap wujudnya pendamaian antara dua orang yang berkelahi atau berselisih, kerana sesungguhnya mendamaikan antara dua orang manusia itu merupakan seutama-utama amalan dan sebaik perkara yang dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah Taala.
Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bertanya para sahabat :
“Tidak sukakah aku memberitakan kepada kamu akan suatu darjat (kedudukan) yang melebihi darjat sembahyang, puasa dan sadaqah?” Mereka menjawab : “ Malah,wahai Rasulullah .” Sabdanya: “ Ialah mendamaikan antara dua orang yang bersengketa, manakala mewujudkan kerosakan antara dua orang, maka dia ialah pencukur(penghilang segala kebajikan; ada pendapat menyebutkan penghapus Agama).”
[H.R Abu Dawud sumber Abu Ad-Darda, juga At-Termidzi :Shahih :Al-Albaani]

Islam menjadikan siapa yang berusaha untuk mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah satu ibadah yang dapat mendekatkan diri seseorang Islam dengan Tuhannya, dimana Allah telah berfirman :

Bermaksud : “Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas syariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah Dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina”
[An-Nisaa’ :14]

Perdamaian dalam Islam meliputi seluruh keadaan: sama ada perdamaian antara suami isteri, antara individu-individu dalam masyarakat, atau antara dua kumpulan atau kabilah; pun antara dua kerajaan; maka semuanya itu dituntut Islam agar dapat menjaga maruah, menarik persaudaraan, mendorong memelihara kepentingan seluruh orang Islam dan menjadikan ia satu kewajipan bagi umat melaksanakannya.

Terkadang pendamaian itu dituntut daripada orang-orang yang diberi tugas mempertahankan sejumlah harta yang banyak. Kerana itu menjadi kewajipanlah bagi jemaah Islam yang berusaha menarik kepada kedudukan ini, sedang dalam perdamaian itu terdapat kebaikan untuk seluruh orang Islam.

PENUTUP
Sadaqah yang diertikan sebagai memberi pertolongan sama ada dalam aspek harta benda, tenaga, dan fikiran merupakan wadah bagi jalinan yang baik antara individu dan masyarakat. Jalinan ini pasti menghasilkan suasana yang harmoni dalam kehidupan masyarakat seharian. Keprihatinan golongan yang memiliki harta kekayaan ke atas golongan yang miskin akan memupuk semangat kemesraan dan saling menghormati. Golongan yang miskin pastinya tidak akan berasa terpinggir dan iri hati terhadap golongan kaya. Situasi sedemikian juga dapat menangani pelbagai gejala sosial yang berbahaya ke atas ketamadunan masyarakat.
Dalam Islam, golongan yang tidak berkemampuan dari segi harta benda masih mampu bersadaqah. Mereka bolehlah menyumbang tenaga dan fikiran ke atas pembangunan prasarana sosial seperti bergotong-royong membina masjid dan jambatan, serta membersihkan kawasan perkuburan dan longkang. Begitu juga mereka boleh menyebarkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat seperti mengajar al-Quran, seni mempertahankan diri, kemahiran bahasa, dan kemahiran hidup.
Ternyata bahawa konsep sadaqah dalam Islam meliputi skop yang luas. Allah Maha Adil dengan memberi peluang kepada semua individu yang melakukan ibadah sadaqah ini, sehinggakan senyuman seseorang itu juga termasuk sebagai sadaqah. Sesungguhnya Allah AWT Maha Bijaksana mengatur perjalanan alam ini agar makhluk yang mendiaminya hidup aman damai. Betapa pentingnya ibadah sadaqah dijadikan amalan harian kerana ia dapat mempengaruhi manusia ke arah kehidupan yang harmoni dan bertamadun.
Secara tidak langsung sebuah masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni pasti melahirkan kekuatan dan keunggulan dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, dan keselamatan sejagat. Sesebuah masyarakat yang memiliki nilai-nilai begini pasti akan dikagumi dan digeruni masyarakat lain. Islam telah mendorong umat menuju kecemerlangan dan merialisasikan masyarakat yang bertamadun menerusi alaman bersadaqah.

Wallahu’alam.